Setiap insan semestinya memiliki insan tersayang di lubuk hati. Begitu juga saya. Bonda sememangnya melekat di lubuk hati ini. Bonda penguat semangatku untuk terus melakar kejayaan dan membuat yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Bonda ibarat sang matahari yang membiaskan sinar paginya di lubuk hati ini. Setiap kali berhubung dengan bonda, hatiku persis berbisik-bisik seakan mahu berada dekat di sampingnya. Jika dulu setiap hari dapat bergurau senda dan berkongsi cerita dengan bonda.. kini, aku jauh di perantauan menuntut ilmu. Aku begitu rindu untuk berjabat tangan, mencium tangan & pipi bondaku. Teringat nostalgia lama sewaktu sekolah dahulu. Setiap hari sebelum ke sekolah, tangan dan pipi bonda akan ku cium dan inilah yang menjadi penguat semangatku untuk melangkah menuntut ilmu. Aku begitu erat dengan bonda lantaran aku dibesarkan oleh bonda setelah pemergian ayahanda ketika aku masih berumur 3 tahun. Bonda begitu menitik beratkan hal-hal pembelajaran terhadap anak-anaknya. Baru saja sekejap tadi aku menghubungi bonda bertanyakan khabar. Alhamdulillah, bonda sihat walafiat..terubat rindu di hati ini. Tak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki ke kampung halaman. Bonda memberikan kata-kata semangat kepadaku. Setiap kali menghubunginya kata-kata semangat inilah yang sentiasa terungkap dari mulutnya. "belajar rajin-rajin, jadi insan yang berguna dunia dan akhirat, dan jangan tinggal solat" kata-kata keramat dari bonda tercinta! terima kasih bonda. Kata-kata keramat itu menjadi pendorong buatku untuk terus berusaha dan belajar bersungguh-sungguh sehingga tercapai cita-cita ku. InsyaAllah. Aku juga berharap aku dapat buat yang terbaik dalam peperiksaan pada semester ini. Kata-kata keramat bonda akan ku galas buat bekalan untuk menempuhi peperiksaan yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Semester ini hanya bersisa 4 hari lagi sebelum melabuhkan tirainya untukku menuju ke medan perang. Semoga semester ini lebih baik dari semester-semester yang lepas. Doakan kejayaan anakmu di perantauan bonda!


No comments:
Post a Comment